BARU ANGKAT SUMPAH, PRABOWO ADA SAINGAN BARU?
Kali ini Pak Maon mau bicara isu internasional. Acah-acah Indo gitu walhal tiada sikit pun darah Indo.
Prabowo Subianto telah rasmi menjadi Presiden Republik Indonesia ke-8. Kontroversi kemenangan Prabowo yang didokongi Jokowi hanya tinggal sejarah setelah beliau mengangkat sumpah Ahad lalu.
Nampaknya Partai Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P, parti yang dibeloti Jokowi) tidak mengambil masa yang lama untuk berduka. PDI-P segera bangkit dari kepedihan akibat dikhianati Jokowi lalu terus mara mempersiapkan masa hadapan.
Sejurus kemenangan Prabowo disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, PDI-P menampilkan calon baru yang bakal dipersiapkan untuk bersaing di pemilihan presiden (PILPRES) 2029.
Pak Maon nampak calon yang dimaksudkan itu ialah Andika Perkasa, seorang Jeneral bersara dan kini sedang bersaing untuk jawatan Gubernur Jawa Tengah. Pemilihan Gubernur (PILGUB) Jawa Tengah bakal diadakan pada 27 Nov 24 nanti.
Jeneral Andika mewakili PDI-P dan akan mempertahankan kawasan Jawa Tengah yang dimenangi PDI-P melalui Ganjar Pranowo pada PILGUB lalu. Ganjar tidak mempertahankan jawatan kerana telah berkhidmat 2 penggal.
Jika Andika menang PILGUB Noember nanti, ia adalah batu loncatan untuk Andika melangkah lebih jauh dalam politik Indonesia. Beliau seorang yang berkarisma, bekas Panglima TNI serta seorang jutawan.
PDI-P ada masa lima tahun mempersiapkan segalanya untuk menyertai PILPRES 2029 nanti. Tentunya ia juga tempoh yang ampuh bagi Andika menyesuaikan diri sebagai seorang ahli politik.
Jika Prabowo masih mahu mempertahankan jawatannya pada umur 78 tahun pada 2029, besar kemungkinan beliau akan bertembung dengan Andika yang akan berumur 65 tahun pada 2029.
Kelayakan kedua mereka agak setara. Kedua-duanya berasal dari famili terhormat serta kaya raya di Indonesia. Keduanya adalah Jeneral Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia yang disegani kawan dan lawan.
Jika Prabowo ada Jeneral Soeharto dan Jokowi sebagai nama yang boleh dijadikan pengaruh, Andika ada Jeneral Hendropriyono dan Megawati yang juga berpengaruh di Indonesia.
Banyak lagi perkara menarik mengenai kedua-dua tokoh ini. Namun intipati utama yang Pak Maon nak utarakan ialah mengenai kematangan politik Indonesia, terutamanya PDI-P.
Setelah PDI-P dikhianati Jokowi dan usaha mereka memenangi PILPRES gagal, PDI-P terus 'move on'. Mereka kembali ke lapangan, berkhidmat untuk rakyat serta mengenal pasti calon untuk ditonjolkan.
Tentunya PDI-P menyasarkan akan kembali bertarung di PILPRES pada tahun 2029 dengan calon dan semangat yang baharu. Tidak sedikit pun mereka mencari jalan mahu merebut kerusi presiden melalui cara lain kecuali pilihanraya.
Berbeza dengan situasi kita, cerita nak tebuk atap tak habis-habis. Kita juga masih bercakap tentang jumlah bagi membentuk kerajaan sedangkan perkara tersebut telah 2 tahun berlalu.
Cabar mencabar bagi menentukan keabsahan kerajaan masih berlaku sehingga kini. Pak Maon rasa cukuplah dengan adegan ini. Akhirnya rakyat juga yang akan terkesan dari persengketaan yang berpanjangan ini.
Andaian bahawa Andika adalah saingan terkuat Prabowo hanyalah prediksi Pak Maon sahaja. Banyak yang boleh terjadi dalam masa lima tahun ini. Pak Maon hanya suka dengan kematangan politik mereka untuk kita jadikan ikutan.
Pak Maon : Lagu jawa kurang 'kick' nak goyang, tetap cari rentak A-Go-Go.
Comments
Post a Comment